KUANTAN 30 Jun - Terengganu mengesahkan tempat ke separuh akhir Divisyen 1 saingan hoki Piala Ketua Polis Negara di Stadium Hoki Belia di Kuantan, Pahang, hari ini.
Pasukan dari Pantai Timur itu menewaskan Briged Tenggara 2-1 dan Negeri Sembilan 3-0 bagi menghuni tangga teratas Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.
Dalam perlawanan menentang Bridged Tenggara, Azrul Hisham meledak gol pertama Terengganu menerusi jaringan padang pada minit ke-29 tetapi Ahmad Nazri Senin menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-39.
Bagaimanapun, Terengganu meraih gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Muhamad Ashraf Abdul Halim pada minit ke-44.
Aksi di sebelah petang pula menyaksikan Negeri Sembilan menjadi mangsa Terengganu apabila menang 3-0 menerusi dua gol dijaringkan Hisham Zahari pada minit ke-40 dan 46 manakala Muhamad Ashraf meledak gol ketiga.
Terdahulu, Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-1 menerusi jaringan padang M Ravinder minit ke-4 dan Mohd Hafiz Pahror Radzi minit ke-24. Perlis meraih satu gol menerusi Ruslang Nurain minit ke-34.
Pasukan bukan pilihan, Melaka juga melakar kemenangan ke atas Perlis 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B. Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Perlis pada hari pertama kejohanan.
Sebanyak sembilan pasukan bersaing dalam saingan Divisyen 1 untuk merebut Piala Ketua Polis Negara. - UTUSAN ONLINE