Malaysia ber­aksi dalam Piala Sultan Azlan Shah 2018 dengan status underdog kerana berada pada ranking no.12 dunia berbanding lima lagi pasukan seperti Australia (No.1), Argentina (No.2), India (No.6), England (No.7) dan Ireland (No.10).

Dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir semalam menyaksikan skuad Malaysia Tigers berjaya meraih dua kemenangan ke atas pasukan ranking lebih baik iaitu Ireland dan Argentina.

Paling membanggakan ialah apabila Malaysia berupaya me­nundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina pada Selasa lalu dengan keputusan 2-1 sekali gus telah membuka mata dunia bahawa skuad negara tidak boleh dipandang mudah.

Cabaran yang dihadapi oleh skuad negara sepanjang kempen di Ipoh telah memberi pengajaran berguna buat Malaysia Tigers bagi dijadikan bekalan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada 5 hingga 14 April.

Prestasi barisan serangan negara juga sudah bertambah baik, Malaysia Tigers sudah tidak perlu bergantung kepada pukulan sudut penalti bagi mendapatkan jaringan.

Berdasarkan statistik keseluruhan 12 gol yang diraih skuad kebangsaan sepanjang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2018, tujuh diperoleh menerusi jaringan padang dan lima ketika melakukan pukulan sudut penalti.

Dalam permainan hoki mo­den, pasukan yang hebat tidak lagi bergantung kepada pukulan sudut penalti bagi mendapatkan jaringan dan itulah yang sedang dilakukan oleh Malaysia Tigers.

Corak permainan pantas sewaktu me­lakukan serangan balas yang tersusun seperti dilakukan England ketika menewaskan Malaysia 7-2 pada Jumaat lepas harus menjadi pengajaran buat skuad negara dalam memperkukuhkan benteng pertahanan.

Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, kejohanan di Ipoh adalah medan persediaan terbaik buat pasukannya menjelang aksi Sukan Komanwel bulan depan.

Dalam masa sama Malaysia Tigers juga dapat menganalisis kelemahan pasukan yang bakal turut serta dalam temasya di Gold Coast.

Selain Malaysia, pasukan dalam Piala Sultan Azlan Shah 2018 yang bakal beraksi di Gold Coast ialah Australia, India dan England.

“Kami masih memerlukan masa untuk melihat beberapa kelemahan pasukan selepas tamat ke­­johanan ini dan saya percaya semua itu dapat diperbaiki sebelum aksi Sukan Komanwel nanti.

“Secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan pres­tasi dipamerkan oleh pasukan sepanjang Piala Sultan Azlan Shah 2018 kerana keupayaan memberikan tentangan sengit kepada lawan lebih hebat,” kata Stephen.

Pada tahun ini selain Sukan Komanwel, kejohanan besar yang bakal dihadapi skuad kebangsaan ialah Sukan Asia 2018, Trofi Juara-Juara Asia dan Piala Dunia.