Kemenangan ke atas pasukan No. 6 dunia India bermakna anak-anak buah Stephen van Huizen beraksi dalam kempen Akhir Liga Hoki Dunia, Disember ini manakala menamatkan kejohanan di London itu dalam kelompok empat pasukan terbaik bermakna mereka mendapat merit untuk layak ke Piala Dunia di India tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, skuad Malaysia Tigers wajar diberikan kredit berdasarkan semangat juang yang ditonjolkan sehingga mampu menundukkan juara Asia, India 3-2 dalam suku akhir Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di London semalam.

“Tahniah kepada Stephen, barisan pegawai pasukan dan pemain-pemain tentunya. Mereka telah membuktikan apa sahaja boleh dicapai jika tekad disertakan dengan kesungguhan.

“Kita kalah dalam dua perlawanan awal tetapi pemain kita tidak patah semangat. Mereka meneruskan perjuangan dan hasilnya mereka berjaya,” kata­nya ketika dihubungi di sini.

Subahan mula menerajui MHC pada 2015 dan menerima kritikan agak teruk pada awal kepempimpinannya, terutama akibat kegagalan skuad negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Apa yang boleh saya katakan, sejak saya memegang jawatan Presiden MHC pada 2015 beberapa perubahan telah dibuat untuk memberikan pendedahan, rombakan dalaman terutama peng­urusan... nampaknya kini membuahkan hasil.

“Paling menarik, setelah me­lantik gandingan Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh dengan Stephen, pada penggal ini hasilnya ‘meletup’.

“Tetapi, sekali pun MHC memberikan fasiliti bertaraf lima bintang atau menggaji jurulatih terbaik dunia dan sebagainya, kejayaan tidak akan terjadi jika pemain sendiri tiada kesungguhan untuk memperbaiki diri.

“Bermakna, kalau kita nak berjaya, kita kena pamerkan semangat juang yang tinggi. Itulah formula kejayaan skuad hoki hari ini, harap momentum ini berterusan,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas menge­nai perlawanan menentang Argentina dalam separuh akhir kejohanan di London itu esok, Subahan berkata tidak mustahil Malaysia Tigers dapat mencipta kejutan dengan menjinakkan gergasi nombor satu dunia itu.

“Di atas kertas, memang agak susah sebab nak lawan No. 1 du­nia. Namun berdasarkan pencapaian ke atas India semalam, sudah tentu Argentina gementar dan Malaysia mampu cipta kejutan.

“Yang penting kita sudah layak ke Piala Dunia. Pemain kita tiada tekanan dan saya harap mereka menikmati perlawanan esok. Kita berdoa agar keputusan memihak kepada mereka,” ujarnya.

Pertemuan dengan Argentina kali ini adalah yang kedua antara kedua-dua pasukan dengan gergasi dari Amerika Selatan itu menang 5-2 dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan A.

Dalam pada itu, Subahan turut berbesar hati terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sedia mempertimbangkan untuk meletakkan skuad hoki ke dalam Program Podium selepas temasya Sukan SEA 2017 berakhir, Ogos ini.

“Perkara ini masih dalam budi bicara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Justeru saya merayu agar beliau dapat mempertimbangkannya sebab mereka sememangnya layak ditempatkan dalam Program Podium. Ini kerana, mereka bukan bermain di pe­ringkat Asia, sebaliknya dunia...sangat kompetitif.

“Dengan adanya sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan khususnya diterapkan ke dalam Program Podium, saya cukup yakin mereka akan membayar semula kepercayaan kepada negara selain memberi lebih banyak kemenangan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.