Malaysia, yang menghuni ranking ke-12 dunia diletak bersama juara Asia, India (ranking keenam), England (ketujuh), Pakistan (13) dan Wales (24) dalam Kumpulan B.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen bernasib baik sekurang-kurangnya berjaya mengelak daripada ditempatkan bersama pasukan No. 1 dunia dan juara bertahan, Australia yang mengetuai Kumpulan A, selain pasukan No. 8 dunia, New Zeland, Kanada (11), juara Afrika, Afrika Selatan (15) serta Scotland (23).

Undian skuad wanita bagaimanapun jauh lebih getir apabila Malaysia yang menimba pengalaman berharga pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, bulan ini diletak dalam Kumpulan A bersama England, pasukan No. 2 dunia yang merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik di Rio tahun lalu di bawah bendera Great Britain.

Selain England, anak-anak buah Dhaarma Raj Abdullah juga perlu berdepan juara Asia yang juga pasukan No. 10 dunia, India, selain juara Afrika, Afrika Selatan (15) dan Scotland (23). Malaysia berkedudukan ke-22 dunia.

Kumpulan B pula akan diketuai oleh penyandang juara, Australia (ranking keempat) bersama New Zealand (5), Scotland (18), Kanada (21) dan Ghana (30).

Edisi ke-21 Sukan Komanwel akan berlangsung dari 4 hingga 15 April, 2018. - UTUSAN ONLINE

LELAKI

KUMPULAN A: Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan, Scotland

KUMPULAN B: India, England, MALAYSIA, Pakistan, Wales

WANITA

KUMPULAN A: England, India, Afrika Selatan, MALAYSIA, Wales

KUMPULAN B: Australia, New Zealand, Scotland, Kanada, Ghana