Jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, lambakan pemain import berkualiti tinggi dimiliki pasukan-pasukan dalam saingan MHL kali ini memerlukan pasukannya bekerja lebih keras andai mahu meraih gelaran.

Tambah Sarjit, biarpun pasukannya memiliki pemain terbaik dunia, Gonzalo Peillat dari Argentina namun itu bukan jaminan mereka mampu mempertahankan kejuaraan Piala TNB.

“Sebelum ini Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang sering memberikan tekanan ke atas THT tetapi dalam musim baharu ini Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga akan pencabar baharu kami.

“Dua pasukan ini memiliki pemain import yang sangat bagus iaitu dari Korea Selatan dan Belanda.

“Pertahanan KLHC pasti akan menjadi lebih kuat kerana memiliki beberapa pemain kebangsaan manakala UniKL pula telah mendapatkan penjaga gol terbaik dunia dari Belanda sekali gus mampu menguatkan pasukan mereka,” kata Sarjit.

Pada musim ini sebanyak enam pasukan bakal beraksi dalam saingan MHL 2018 iaitu THT, UniKL, KLHC, Maybank, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolt.

Saingan MHL 2018 akan bermula dengan perebutan gelaran Piala Tan Sri P. Alagendra pada 3 hingga 7 Januari depan sebelum aksi Piala Sumbangsih pada 10 Januari.