Muhammad Dharma Raj Abdullah

Undian tersebut diumumkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menerusi laman web rasmi badan induk dunia itu hari ini.

Pasukan lain yang berada dalam Kumpulan B ialah naib juara Piala Dunia 2014, Australia, New Zealand yang berada di ranking kelima dunia, Sepanyol (ranking ke-10) dan Belgium (ranking ke-14).

Skuad wanita negara yang ketika ini menghuni ranking ke-22 dunia harus mendapatkan sekurang-kurangnya satu kemenangan di peringkat kumpulan untuk membolehkan mereka melangkah ke saingan suku akhir.

Kejayaan melangkah ke saingan suku akhir bermakna peluang Malaysia untuk beraksi dalam Piala Dunia tahun depan lebih terjamin.

Jurulatih skuad negara Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, undian tersebut amat mencabar buat pasukannya namun akan berusaha untuk mencapai sasaran diinginkan.

“Saya sudah menjangka kumpulan ini yang kami akan dapat dan saya juga telah maklumkan kepada pemain sebulan lalu.


“Saya akui cabaran yang menanti kami amat hebat tapi kami harus cuba untuk mendapatkan satu kemenangan daripada empat perlawanan walaupun empat pasukan lain dalam kumpulan ini semuanya pernah beraksi dalam Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik,” katanya.

Dalam pada itu, Kumpulan A menyaksikan juara dunia Belanda diundi bersama China, Korea Selatan, Itali dan Scotland. – UTUSAN