Jelasnya, keyakinan tinggi itu hadir selepas skuad Malaysian Tigress menjalani latihan intensif dan beberapa perlawanan ujian di luar negara baru-baru ini, sekali gus bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dalam usaha menaiki podium dalam temasya tersebut.

“Kita ke Jakarta bukan sekadar melengkapkan penyertaan. Kita akan menampilkan prestasi terbaik untuk meraih kedudukan podium walaupun kita tahu lawan bakal dihadapi agak mantap terutama Jepun yang menyenaraikan beberapa pemain yang beraksi dalam Piala Dunia,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan, manakala juara bertahan Korea Selatan mengetuai Kumpulan B yang terdiri daripada India, Thailand, Kazakhstan dan tuan rumah Indonesia.

Pingat gangsa merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah temasya iaitu ketika acara hoki wanita diperkenalkan buat pertama kali dalam Sukan Asia di New Delhi, India pada 1982.

Sementara itu KHM mengesahkan empat pemain negara iaitu Nuraini Abd. Rashid, Fatin Shafika Md. Shukri, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Md. Saiuti akan bermain dengan kelab Eropah.