Pertemuan itu memberi peluang kepada skuad bimbingan jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk menebus kekecewaan kepada pasukan ke-18 dunia itu pada separuh akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Brussels, Belgium, tahun lepas, yang menyebabkan Malaysia menamatkan kejohanan di kedudukan tercorot.

Pada aksi di Pusat Hoki Gold Coast, hari ini, Malaysia mempamerkan aksi cemerlang apabila menambah tiga mata selepas menang 1-0 kepada pasukan ke-26 dunia, Wales, untuk berada di tempat keempat dalam kumpulan A.

Gol tunggal pasukan negara yang berada di ranking ke-22 dunia adalah melalui Hanis Nadiah Onn pada minit ke-23 untuk mencatatkan kemenangan pertama buat Malaysia.

"Kami layak meraih kemenangan ini selepas bermain dengan begitu baik dalam tiga perlawanan terdahulu tetapi ketika itu keputusan tidak memihak kepada kami apabila cuma seri dengan Afrika Selatan dan dua kali tewas kepada India dan England.

"Perlawanan ini amat penting untuk memastikan kami tidak bermain dalam tempat tercorot. Saya bangga dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan esok, Muhammad Dhaarma Raj berkata pasukannya bakal berdepan tugas sukar kerana Scotland pastinya tidak mahu menutup kempen Sukan Komanwel di kedudukan lebih rendah daripada skuad negara.

Beliau berharap rentak kemenangan itu dapat diteruskan pada aksi bertemu Scotland sekali gus mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan itu walaupun pernah tewas sebelum ini. - BERNAMA