Keputusan ini turut meletakkan skuad negara pada tempat ketiga dalam Kumpulan B, di belakang England dan India yang mara ke separuh akhir.

Malaysia mengumpul empat mata selepas empat perlawanan dengan satu-satunya kemenangan diraih ke atas Wales dan kalah kepada England dan India.

Skuad bimbingan Stephen van Huizen hadir ke Pusat Hoki Gold Coast hari ini dengan misi mesti mengutip sekurang-kurangnya satu mata untuk memenuhi sasaran memperbaiki kedudukan di tempat ketujuh dalam temasya empat tahun lalu di Glasgow, Scotland. Pakistan pula memerlukan kemenangan setelah sekadar seri dalam tiga perlawanan pertamanya.

"Saya sangat gembira dengan keputusan seri ini kerana ini bermakna kami menamatkan persaingan dalam Kumpulan B di kedudukan ketiga.

"Jika melihat kepada ranking dunia, kita perlu menamatkan persaingan di kedudukan kelima dan keenam atau lebih baik dan saya berpuas hati kerana kami mencapai sasaran untuk mengakhiri persaingan mengikut kedudukan kami dalam ranking," kata Stephen yang ditemui selepas tamat perlawanan. - UTUSAN ONLINE