Malaysia yang membelasah Vanuatu 14-0 dalam perlawanan pembukaan pada Ahad, membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Mohd Akhimullah Anuar Essok yang menjaringkan gol padang, pada perlawanan yang berlangsung di Youth Olimpic Park, demikian menurut Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) dalam laman Facebooknya.

Pasukan negara meneruskan dominasi dengan gol kedua oleh Arif Syafie Ishak pada minit ke-8 sebelum Mexico bangkit untuk membolosi gawang Malaysia enam minit kemudian menerusi Luis Villegas.

Gol Mexico itu nyata membakar semangat skuad negara yang melebarkan jurang dengan dua gol lagi iaitu menerusi Arif Syafie dan Syarman Mat Tee dalam tempoh seminit pada minit ke-19 permainan.

Mexico memperoleh gol keduanya seminit kemudian melalui Jorge Estrada namun sudah terlambat untuk mereka menghalang pasukan bimbingan Wallace Tan itu daripada mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada temasya tersebut.


Perlawanan lain dalam Kumpulan A menyaksikan Argentina membenam Vanuatu 18-0 sementara Zambia menewaskan Poland 4-3.

Malaysia akan bertemu Zambia pada perlawanan ketiga esok.

Juara bertahan Australia mengetuai cabaran Kumpulan B bersama-sama India, Kanada, Austria, Kenya dan Bangladesh.

Untuk rekod, Malaysia tidak layak dalam dua edisi terdahulu iaitu 2010 di Singapura dan 2014 di China. - BERNAMA