Kata Nor Saiful Zaini, kempen kali ini akan menjadi amat mencabar berdasarkan kualiti pasukan yang menyertai kejohanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Selain Malaysia, turut mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan tersebut ialah lima pasukan handalan dunia seperti Australia, Great Britain, India, Jepun dan New Zealand.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan sikap dan corak permainan yang ditunjukkan bagaimanapun saya bimbang mereka kurang yakin dan ia faktor penting untuk diambil kira.

“Kami sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan ini dan berharap dapat menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik. 

“Kami mengadakan dua perlawanan persahabatan, menentang Australia (tewas 0-1) serta Great Britain (seri 0-0). Masalah kami adalah bahagian serangan dan saya berpendapat kami perlu mengatasi masalah ini,” kata Nor Saiful Zaini.

Pada tahun lepas Malaysia menamatkan kempen Piala Sultan Johor di tempat keempat keseluruhan.


Sementara itu, pemangku Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Manjit Majid Abdullah berkata peminat hoki bakal menyaksikan perlawanan berkelas dunia.

“Kami berharap semua pasukan akan memberikan aksi terbaik dan bukan hanya skuad remaja negara kita. Kemasukan ke stadium adalah percuma dan kami ingin melihat lebih banyak sekolah hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

“Kami juga akan memastikan semua pasukan mendapat kemudahan terbaik dan pulang dengan kenangan manis,” kata Manjit. - UTUSAN ONLINE


Jadual

SABTU
Great Britain lwn New Zealand – 4.05 petang
Australia lwn Jepun – 6.05 petang
Malaysia lwn India – 8.35 malam


AHAD
Jepun lwn Great Britain - 4.05 petang
India lwn New Zealand – 6.05 petang
Australia lwn Malaysia – 8.35 malam