Skuad yang baru pulang daripada Kejohanan Empat Negara di Milton Keynes, hanya mampu menewaskan Singapura 1-0 dalam perlawanan akhir malah dengan angka yang sama mereka mengatasi tuan rumah dalam liga pusingan awal.

Lain-lain perlawanan awal menyaksikan barisan bintang utama seperti S. Kuhan dan Mirnawan Nawawi yang beroleh perak Sukan Komanwel 1998 membelasah Singapura 7-0, Thailand 5-0 dan Indonesia 8-0.

Mereka dikatakan cuba menjaga hati Brunei yang turut meminjam khidmat jurulatih negara, Yahya Atan selama tiga bulan bagi menghadapi temasya di tempat sendiri.

Namun jika bukan kerana jaringan tunggal Kuhan yang terkenal dengan sungkitan deras sudut penalti, Singapura hampir mampu mengaibkan lawan seperti mana ketika mereka merampas emas Sukan SEAP 1973.

Mendapat pendedahan meluas menerusi Program Jaya ’98, skuad wanita negara bimbingan Wallace Tan juga dianggap berprestasi sederhana sahaja sekalipun membenam Thailand 2-0 - lawan yang pernah mengejutkan mereka di Chiang Mai pada 1995.