STEPHEN VAN HUIZEN
STEPHEN VAN HUIZEN

Kata Stephen, dia perlu menunggu keputusan daripada pihak perubatan berhubung status kecederaan me­libatkan beberapa pemain dalam senarai 18 pemain tersebut yang bakal diketahui dalam masa terdekat ini.

“Ketika ini kami sedang memantau tahap kecederaan pemain seperti Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan beberapa pemain lagi dalam senarai 18 nama ke Sukan Komanwel mungkin kita perlu beri masa kepada mereka sehingga doktor perubatan pasukan memberikan maklum balas sama ada mereka sudah pulih sepenuhnya atau tidak.

“Sementara kecederaan yang dialami oleh pemain lain seperti Muhammad Marhan Mohd. Jalil serta Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil mungkin tidak begitu serius, malah saya percaya mereka mampu pulih dalam tempoh singkat.

“Bagaimanapun kita perlu tunggu penilaian daripada pihak perubahan dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Anugerah Sukan Negara (ASN), di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut pasukan hoki lelaki negara dinobat sebagai penerima Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik 2017 berikutan prestasi me­yakinkan pada tahun lalu termasuk layak ke Piala Dunia 2018 serta muncul naib juara Piala Asia 2017.

Sementara itu, Stephen berharap semua pemainnya dapat bekerja lebih keras lagi pada tahun ini terutama selepas memenangi Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik 2017.

“Anugerah ini satu penghormatan buat pasukan hoki lelaki negara atas kejayaan yang dilakar pada tahun lalu dan saya percaya ia dapat meningkatkan motivasi pasukan untuk meraih kejayaan tahun ini.

“Tahun ini banyak kejohanan yang bakal dihadapi pasukan sekali gus memerlukan kerja keras dalam kalangan pemain untuk mencapai kejayaan,” kata Stephen.