“Bagi saya, kejohanan ini sukar kerana kesemua pasukan sangat kompetitif. Jika dilihat kepada lawan kami dalam Kumpulan A, Wales dan Austria adalah pasukan yang bagus, tetapi Belarus saya tidak mempunyai sebarang maklumat.

“Dalam Kumpulan B ada pasukan Malaysia, mereka menewaskan kami pada Piala Sultan Azlan Shah serta China. Jadi, terdapat empat atau lima pasukan hebat pada kejohanan ini, dan kita akan menghadapinya satu demi satu,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Pasukan berada di ranking ke-10 dunia itu dilihat sebagai pasukan pilihan pada kejohanan ini, dan pencabar terdekat mereka mungkin dua pasukan dalam Kumpulan B, tuan rumah Malaysia (ke-13) dan China (14).

Sementara lima lagi pasukan terdiri dari Austria (19), Wales (24), Brazil (27), Belarus (31) dan Itali (32) menyifatkan saingan ini sebagai kejohanan pelengkap yang hanya menawarkan dua tiket ke kempen kelayakan akhir Olimpik 2020.

Ditanya mengenai kekuatan pasukan Malaysia, Bundy berkata skuad bimbingan Roelant Oltmans itu berpotensi mara ke final, terutama dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri.

“Berdasarkan pertemuan sebelum ini berdepan Malaysia, mereka memiliki barisan pemain sedang meningkat dan berbahaya, maka mereka merupakan lawan yang sukar,” katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih China Kim Sang Ryul melihat kejohanan ini sesuatu yang positif kepada pasukannya, dan mahu anak buahnya meraih keputusan cemerlang.

Walaupun membariskan 11 pemain pernah beraksi pada Sukan Olimpik, beliau mahu pemainnya berhati-hati apabila berdepan pasukan tuan rumah, Malaysia dalam aksi Kumpulan B.

Pasukan berada di ranking ke-14 dunia itu sudah bersedia meraih tiga mata penuh apabila berdepan Itali pada perlawanan pembukaan, Jumaat ini.

“Malaysia serta Kanada adalah pasukan yang bagus, dan saya tidak tahu kekuatan pasukan lain kerana saya tidak pernah lihat mereka beraksi, tetapi kita perlu sentiasa berhati-hati,” katanya. - BERNAMA