Menjelang aksi kompetitif pertamanya sejak pulih daripada kecederaan pangkal paha, Muhammad Shahril berkata beliau tidak berasa kekok dan hanya akan memberikan yang terbaik seperti sebelum ini jika diturunkan menentang Brazil pada aksi pembukaan Kumpulan B, Jumaat ini.

"Saya tidaklah berasa terlalu gugup dan tidak juga kekok untuk perlawanan pertama Jumaat ini. Sekiranya diturunkan, saya akan berikan yang terbaik sama seperti yang pernah saya tampilkan sebelum ini.

"Saya juga ada membuat beberapa persiapan sendiri dan bersama pasukan untuk membantu saya dapatkan semula 'mood' menghadapi perlawanan kompetitif," katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Sebagai rekod, kecederaan pangkal paha kirinya itu menyaksikan Shahril terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan ke Piala Dunia 2018 dan Piala Sultan Azlah Shah 2019 selain terlepas aksi Liga Hoki Malaysia bersama kelabnya Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pada masa sama, ketika diminta mengulas mengenai prestasi pasukan, pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 25 tahun itu berkata terdapat banyak perubahan dan kemajuan dalam pasukan 'flickers' selepas menerima sentuhan pakar pukulan sudut penalti, Taeke Taekema.

Taekema diiktiraf sebagai pakar pukulan sudut penalti paling digeruni di dunia selepas menjaringkan 221 gol daripada 242 penampilan buat skuad kebangsaan Belanda bermula 2000 hingga 2011.

Dalam pada itu, beliau berazam menampilkan aksi terbaik pada aksi pemanas badan berdepan Wales di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.- BERNAMA