Skuad bimbingan Ikmal Abdul Jabar itu mempamer persembahan menakjubkan ketika mengatasi Pahang, yang memiliki tujuh pemain kebangsaan selain menjadi pilihan utama untuk memenangi kejohanan tersebut.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Selangor yang juga pemenang pingat gangsa edisi lalu, membawa pulang wang hadiah kemenangan berjumlah RM5,000 manakala Pahang RM3,000.

“Sungguh mengejutkan. Kami tahu Pahang merupakan pasukan paling kuat dan saya tidak sangka kami raih kemenangan menerusi skor sebegini.

“Ya, saya sangat yakin dengan pemain saya untuk memberikan yang terbaik demi melakar kejutan terhadap Pahang, dan nampaknya mereka bermain dengan penuh keyakinan.

“Sistem yang kami rangka untuk menghadapi saingan akhir tampak berhasil. Mungkin dua jaringan awal pada suku masa pertama meranapkan keyakinan Pahang,” ujar Ikmal sejurus tamat perlawanan di sini hari ini.

Gol Selangor di­sempurnakan Nurain Hidayah Hasri pada minit kelapan, Fatin Shafikah Mohd. Sukri (minit ke-10, 32 dan 56) dan Nor Atira Mohamed Ismail (minit ke-44), manakala Pahang menerusi Rabiatul Adawiyah Mohamed (minit ke-16) serta Annur Amira Suziani (minit ke-38).

“Syabas diucapkan kepada Selangor. Satu pertembungan yang hebat malam ini. Mereka beraksi sangat baik dan sentiasa berusaha untuk berada di depan kami.

“Mereka berhak menang,” kata jurulatih Pahang, Be­nedict Arrais yang menyuarakan hasrat berundur sejurus berakhir kempen Pia­la Tun Abdul Razak setelah menabur bakti kepada pasukan itu selama 22 tahun.

Tempat ketiga dimenangi Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) selepas mengalahkan Kuala Lumpur 3-1.