Malaysia memenangi pingat perak Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang bulan lalu sekali gus terlepas kelayakan automatik ke Sukan Olimpik di Tokyo empat tahun lagi.

Menurut format kelayakan hoki untuk ke Sukan Olimpik 2020, slot automatik akan diberikan kepada juara benua.

Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), yang mendapat soko­ngan Persekutuan Hoki Asia (AHF), telah menghantar surat rayuan kepada FIH untuk me­minta pertimbangan mereka agar skuad Malaysian Tigers diberikan kelonggaran berdasarkan alasan Jepun yang muncul juara Sukan Asia telah pun mendapat kelayakan automatik untuk Olimpik 2020 selaku tuan rumah.

India, yang muncul naib juara wanita di Jakarta turut membuat rayuan yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil mengesahkan kepada portal hoki antarabangsa, The Hockey Paper bahawa pihaknya telah menerima surat yang dihantar oleh AHF dan menjelaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam menentukan sistem kelayakan ke Sukan Olimpik.

Mengulas perkara itu, Pre­siden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya akan menunggu jawapan rasmi daripada pihak FIH berhubung perkara tersebut.

“Sebaiknya kita tunggu sahaja jawapan rasmi daripada FIH dan AHF walaupun Weil telah mengeluarkan kenyataan. Persiapan pasukan kebangsaan masih berjalan seperti biasa untuk memastikan mereka layak ke Sukan Olimpik,” kata Subahan apabila dihubungi.