Ketua Jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans mengakui, misi mengutip tiga mata menentang juara dunia tiga kali itu tidak mudah, namun ia tidak bermakna Malaysian Tigers akan menyerah mudah.

“Saya harus akui Belanda adalah pasukan yang cukup sempurna dan antara pilihan untuk memenangi Piala Dunia kali ini.

“Mereka pantas ketika me­lakukan serangan dan pe­nyerang mereka sentiasa memainkan peranan ketika dalam kawasan separa bulatan.

“Antara kelebihan Belanda adalah memiliki tiga pakar pukulan sudut penalti yang hebat dan tugas kami adalah untuk menghentikan mereka,” kata Oltmans.

Berdasarkan 33 pertemuan menentang Belanda, Malaysia hanya pernah menang tiga kali ke atas pasukan ranking keempat dunia itu.

Malaysian Tigers yang meng­huni ­ranking ke-12 dunia seri dua kali manakala selebihnya tewas.

Malaysia perlu menamatkan aksi dalam kelompok tiga terbaik peringkat kumpulan untuk melangkah ke saingan sete­rusnya dan menghidupkan misi memburu kelompok 10 terbaik.

Pencapaian terbaik pasukan negara dalam Piala Dunia adalah menduduki tangga keempat ketika menjadi tuan rumah pada 1975.