Malaysia sebaliknya memperoleh kemenangan 3-2 ke atas jaguh Asia itu, dengan ketiga-tiga jaringan dilakukan menerusi pukulan sudut penalti menyaksikan dua daripadanya oleh Razie Rahim manakala Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil menambah satu gol.

Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen van Huizen berkata, beberapa kelemahan terutama menerusi pukulan sudut penalti dapat dikesan ketika skuad Malaysia Tigers beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah pada Mei lalu.

Jelasnya, situasi tersebut menyebabkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengarahkan dia dan Pengarah Teknikal Terry Walsh mencari jalan penyelesaian sebelum berangkat ke kejohanan yang sedang berlangsung di London itu.

“Kredit wajar diberikan kepada pemain - daripada penjaga gol, pertahanan, pemain tengah dan penyerang, semua bermain dengan cemerlang. Kemenangan ini didedikasikan untuk rakyat Malaysia,” katanya selepas perlawanan dengan India.

Van Huizen kemudian menjelaskan rahsia kejayaan pasukannya dalam perlawanan itu.

“Kali ini saya nampak pukulan sudut penalti kami menjadi. Ini disebabkan banyak kerja keras yang dilakukan oleh mereka (pemain) menjelang kejohanan ini.

“Selepas Pusingan Kedua WHL di Dhaka dan Piala Sultan Azlan Shah, kami mendapati pukulan sudut penalti tidak bagus. Jadi, Presiden MHC (Datuk Seri Subahan Kamal) mahu saya dan Terry Walsh memperbaikinya,” ujarnya.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Malaysia layak ke separuh akhir di London dan ke Piala Dunia di India tahun depan.