Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan tersebut kepada Khairy Jamaluddin untuk menilainya memandangkan Menteri Belia dan Sukan itu lebih arif tentang perkara berkenaan.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, hoki khususnya skuad lelaki wajar berada di dalam Program Podium. Tapi saya biarkan (terpulang) kepada budi bicara Menteri Belia dan Sukan sebab dia lebih arif dan tahu apa yang patut (dilakukan).

“Bagaimanapum saya sangat berharap dan merayu kepada pihak kementerian, kalau boleh beri peluang kepada mereka susulan pencapaian demi pencapaian berjaya dilakar.

“Kami berjanji tidak akan menghampakannya. Sebab dari situ kami akan lebih bagus dan kuat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan skuad kebangsaan yang muncul naib johan pada saingan di Dhaka itu selepas tewas 1-2 kepada India dalam final semalam.

Pada 23 Jun lalu, Khairy berkata, beliau bakal mempertimbangkan cadangan supaya skuad hoki lelaki negara dima­sukkan ke dalam Program Podium, selain perkara itu akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Penilaian program itu selepas berakhirnya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen berkata, anak-anak buahnya wajar diberikan pujian kerana pengorbanan mereka dalam usaha menjulang nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“Tahun ini amat bermakna buat mereka sebab bekerja keras untuk melayakkan diri ke Piala Dunia selain muncul naib juara Piala Asia. Semua pemain saya telah banyak berkorban. Inilah sukan, untuk meraih sesuatu keputusan yang baik, anda perlu berkorban,” katanya.

Sementara itu, penyerang negara, Faizal Saari menerima khabar gembira apabila ada seseorang sudi menaja untuk membaik pulih stuktur giginya yang patah sewaktu menentang Pakistan dalam saingan Super 4, Piala Asia.

“Selepas kehilangan empat batang gigi, ada orang nak taja. Nanti saya kemas kini dengannya untuk buat semula gigi saya,” katanya yang juga Pemain Terbaik Kejohanan dan Penjaring Terbanyak, berkongsi tujuh gol bersama pakar pukulan sudut penalti India, Harmanpreet Singh.