Naib Canselor Uniten, Datuk Profesor Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, meraih kejayaan itu tidak semudah yang dijangka kerana ia hadir menerusi kerja keras barisan kejurulatihan dan pemain.

“Idea penubuhan pasukan ini bermula sejak 2009 dan bukan mudah sebenarnya buat sebuah pasukan IPT (Institut Pengajian Tinggi) meraih kejuaraan dalam kejohanan peringkat kebangsaan.

“Kejayaan ini juga membuktikan PKS Uniten-KPT mampu me­lakukannya dan menjadi antara pasukan terhebat dalam Malaysia.

“Saya harap kejayaan ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun seterusnya dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada semua pemain yang bertungkus lumus melakar kejayaan ini,” katanya sewaktu majlis penghargaaan pasukan di Kampus Uniten, Bangi, semalam.

Sementara itu dalam majlis tersebut turut berlangsung sesi memperkenalkan skuad hoki wanita remaja SSTMI-PKS Uniten yang akan mengharungi saingan Liga Hoki Remaja Wanita Malaysia 2018 bermula 23 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Uniten, Profesor Dr. Mohd. Zamri Yusoff percaya kejayaan skuad senior musim ini akan menjadi membakar semangat SSTMI-PKS Uniten bagi mempertahankan gelaran dimenangi dua tahun berturut-turut.

“Saya percaya skuad remaja ini mampu melakukannya (meraih kecemerlangan).

“Matlamat utama kami untuk muncul juara liga remaja, sama seperti yang disasarkan kepada skuad senior sebelum ini,” kata Mohd. Zamri.