Keputusan seri tersebut menyebabkan Malaysia berada di tangga keempat Kumpulan D se­lepas dua perlawanan dan un­tuk melangkah ke saingan seterusnya skuad negara harus menamatkan aksi peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

Ini bermakna Malaysian Ti­gers harus mendapatkan se­ku­rang-kurangnya satu mata dalam perlawanan terakhir pe­ringkat kumpulan iaitu menentang gergasi Eropah, Jerman yang juga pendahulu Kumpulan D, Ahad ini di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, dan dalam masa sama Oltmans harus mengharapkan Pakistan gagal meraih sebarang mata ketika bertemu Belanda.

Oltmans turut mengakui bukan mudah untuk menentang Jerman yang berjaya menewaskan Belanda dengan keputusan 4-1 dalam pertemuan kedua, semalam.

“Jerman adalah pendahulu dalam kumpulan kami dan ia akan menjadi satu cabaran hebat buat kami nanti. Bagaimanapun kami tetap akan melakukan segalanya untuk melangkah ke pusingan seterusnya, walaupun kami bakal berdepan laluan sukar,” kata Oltmans.

Berdasarkan tujuh rekod pertemuan Malaysia dan Jerman menyaksikan skuad negara gagal meraih sebarang kemenangan sejak 1964 hingga yang terakhir pada 2013.

Hanya sekali sahaja skuad hoki negara berjaya meraih keputusan seri menentang Jerman iaitu dalam Sukan Olimpik 1964 dengan kedua-dua pasukan menamatkan aksi tanpa sebarang jaringan.

Kali terakhir Malaysia bertemu Jerman ialah dalam suku akhir Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2013 yang menyaksikan pasukan kebangsaan tewas 0-6 kepada gergasi Eropah itu.