Indonesia menurunkan sebahagian pemain yang beraksi dalam Sukan SEA Ke-29 yang lalu dalam saingan Piala Tun Abdul Razak 2017 manakala Perak mempunyai gabungan pemain muda dan kebangsaan.

Jurulatih skuad hoki wanita Perak, Mohd. Azlan Ahmad berkata, pasukannya telah mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Indonesia sekali gus membolehkan mereka mengubat kekecewaan tewas 2-6 kepada Kuala Lumpur dalam aksi pembuka tirai, semalam.

“Ini adalah kemenangan pertama kami dalam kempen Piala Tun Abdul Razak dan perlawanan menentang Indonesia bukan satu aksi mudah kerana sebelum ini kami tidak tahu kekuatan lawan dalam masa sama kami menghormati mereka.

“Selepas ini kami akan menentang Pahang dan saya dapat jangkakan ia berlangsung sengit dan misi kami jika dapat mengikat juara bertahan itu maka ia sudah cukup baik buat pasukan,” kata­nya selepas tamat aksi pasukannya di sini, hari ini.

Tiga gol Perak dijaringkan oleh Nurliyana Ghazali sewaktu minit ke-10 sebelum Wan Nur Syamielea Wan Mazli menjadikan kedudukan 2-0 ketika minit ke-45 dengan kedua-duanya diperoleh menerusi gol padang.

Satu lagi jaringan skuad wa­nita Perak dijaringkan oleh Amira Natasha Abu Hassim sewaktu minit ke-25 hasil pukulan sudut penalti.

Sementara itu, pengurus pasukan Indonesia, Deny Fahyuddin berkata, penyertaan pasukannya dalam kejohanan ini adalah bagi memberikan pendedahan kepada pemain dalam masa sama sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia 2018.

“Ini adalah pasukan campuran skuad Sukan SEA Ke-29 dengan beberapa pemain baharu dan saya berpuas hati dengan aksi pertama mereka hari ini.

“Dalam perlawanan menentang Perak, pemain telah membuktikan tahap keupayaan mereka dalam perlawanan kompetitif sebegini,” kata Yanuar.