Itu kejayaan yang kita semua dapat lihat selepas menonton perlawanan akhir Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh namun di sebalik kecemerlangan itu tidak ramai sedar bahawa ia hadir dengan hasil pengorbanan luar biasa dalam kalangan pemain.

Pemain penyerang, Fitri Saari terpaksa pulang ke tanah air kerana anaknya kritikal dan kembali menyertai skuad kebangsaan beberapa jam sebelum membantu Malaysia Tigers meraih kemenangan ke atas Pakistan manakala abang pemain itu, Faizal hilang empat gigi di bahagian atas hadapan ketika perlawanan sama.

Bukan itu sahaja, penjaga gol negara, S. Kumar tidak dapat menyambut Hari Deepavali bersama keluarga buat kali ketujuh berturut-turut kerana komitmen kepada negara ketika perlawanan menentang Pakistan pada 18 Oktober lalu dalam saingan Super 4.

Ketika kempen Piala Asia 2017 di Dhaka itu juga tiga pemain negara iaitu kapten, Muhammad Sukri Abdul Mutalib, pemain tengah Nabil Fiqri Mohd. Noor dan penyerang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil masing-masing masih bergelut dengan kecederaan namun tetap mempamerkan aksi terbaik buat pasukan kebangsaan.

Kecemerlangan diraih dengan pengorbanan ini yang menjadikan kejayaan skuad hoki negara menjadi lebih bermakna malah ia satu contoh terbaik untuk semua atlet negara ikuti iaitu berjuang bukan kerana ganjaran tetapi kerana nama Malaysia.

Sungguhpun Malaysia Tigers tidak berjaya bergelar juara Piala Asia 2017 namun skuad bimbingan Stephen Van Huizen tetap mempamerkan prestasi yang membanggakan sepanjang kempen di Dhaka.

Beraksi dalam kejohanan yang kali pertama menggunakan format Super 4 bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan skuad kebangsaan bermain lebih banyak perlawanan berbanding sebelum ini dan kejayaan melangkah ke saingan akhir membuktikan kecergasan Malaysia Tigers sentiasa berada di tahap terbaik.

Keupayaan Malaysia menewaskan Pakistan dengan keputusan 3-2 ketika aksi Super 4 pada Rabu lalu juga wajar dipuji kerana ini adalah kali pertama pasukan kebangsaan berjaya menewaskan juara tiga kali itu dalam kempen Piala Asia.

Peningkatan positif dipamerkan oleh skuad hoki kebangsaan ini diharap dapat dikekalkan bagi menghadapi pelbagai kejohanan besar pada tahun depan.

2018 akan menjadi tahun paling mencabar buat skuad hoki kebangsaan kerana akan menyertai Piala Dunia di India, Sukan Asia di Indonesia dan Sukan Komanwel di Australia.

Antara tiga pertandingan tersebut Sukan Asia 2018 akan menjadi tumpuan utama Malaysia Tigers kerana perlu meraih kecemerlangan bagi mendapatkan slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Ketika ini salah satu daripada dua Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengalas kerusi No.1 badan induk itu telah pun tercapai apabila skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Dunia 2018.

Kini Malaysia Tigers hanya perlu mendapatkan slot ke Tokyo bagi melengkapkan KPI di bawah kepimpinan Presiden MHC Ke-6 itu.- UTUSAN ONLINE