Pakistan mara ke peringkat Super 4 Piala Asia di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka yang menggunakan format round robin selepas muncul naib juara Kumpulan B kepada India. Dalam peringkat awal, bekas juara Olimpik itu menumpaskan tuan rumah Bangladesh 7-0 tetapi kemudian sekadar seri 2-2 dengan Jepun dan kalah 3-1 kepada India.

Malaysia pula melayakkan diri selaku juara Kumpulan A selepas menumpaskan China 7-1, Korea Selatan 2-1 dan Oman 7-1. Faizal Saari merupakan penja­ring terbanyak dengan enam gol.

Sepanjang tiga perlawanan peringkat awal, Muhammad Umar hanya menjaringkan satu gol manakala pemain tengah Muhammad Rizwan masih mencari gol pertamanya, namun Stephen tetap meletakkan kedua-duanya sebagai pemain Pakistan pa­ling berbahaya dan perlu diawasi dengan ketat.

Stephen menganggap dua pemain Pakistan itu amat berbahaya ketika berada dalam kawasan D, dan boleh menggunakan kepantasan mereka untuk me­ngucar-kacirkan benteng pertahanan yang bermakna pasukan negara harus berusaha menutup ruang untuk menyukarkan dua pemain tersebut bergerak selesa.

“Dalam saingan Super 4 ini, jumlah jaringan yang diperoleh dalam setiap perlawanan amat penting selain kemenangan, kerana mampu menentukan kedudukan pasukan.

“Bagi saya Pakistan telah menurunkan pasukan yang le­bih hebat di Dhaka berbanding ketika Liga Hoki Dunia di London pada Jun lalu.

“Dua pemain Pakistan itu mempunyai kekuatan yang amat baik ketika melakukan serangan balas sekali gus memerlukan pasukan kita lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi.

Selain Malaysia dan Pakistan, dua lagi pasukan yang berjaya melangkah ke saingan Super 4 ialah India dan Korea Selatan selaku naib juara kepada Malaysia dalam Kumpulan B.

Format Super 4, yang menggantikan sistem separuh akhir, memerlukan empat pasukan bersaing secara round robin yang bermakna mereka perlu bermain dalam tiga perlawanan dan dua pasukan dengan rekod terbaik akan ke perlawanan akhir manakala dua lagi pasukan akan bersaing untuk merebut tempat ketiga.

Stephen turut menjangkakan pertemuan dengan Pakistan akan berlangsung sengit walaupun kedua-dua pasukan telah layak ke Piala Dunia 2018 di India.

“Saya percaya persaingan dalam Super 4 akan menjadi lebih berbeza berbanding persaingan di peringkat kumpulan.

“Ketika ini India adalah pilihan utama untuk berada dalam dua kelompok terbaik Super 4 manakala satu lagi slot akan menjadi rebutan antara kita, Pakistan dan Korea Selatan,” katanya.

Kali terakhir Malaysia bertemu Pakistan adalah dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh tahun lalu di mana skuad Stephen tewas 1-0. Malaysia hanya sekali memenangi pingat Piala Asia iaitu pada 2007 setelah menduduki tempat ketiga.