Pahang dan ATM akan bertemu dalam saingan separuh akhir pada esok di Stadium Hoki Kuala Lumpur sekali gus menjadi aksi tumpuan.

Jurulatih Pahang, Benedict Arrais berkata, pasukannya harus melangkah ke saingan akhir pada Ahad ini dalam masa sama harus berwaspada ke atas ATM.

“Objektif utama kami adalah untuk menang dalam kejohanan ini namun perlu berdepan dua lagi cabaran iaitu ATM sewaktu saingan separuh akhir dan aksi final.

“Pasukan kami telah beraksi dengan baik dalam semua perlawanan namun tidak boleh terlalu berkeyakinan dalam aksi separuh akhir nanti,” kata Arrais.

Dalam satu lagi separuh akhir, esok menyaksikan Kuala Lumpur dijadual menentang Selangor.

Skuad hoki wanita Kuala Lumpur pastinya akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan kemenangan ke atas Selangor.

Pengurus skuad hoki wanita Kuala Lumpur, Noor Saliza Soobni berkata, penyudah pasukannya kini semakin baik dan berharap mampu mengekalkan prestasi.

“Sebelum ini penyudah kami amat membimbangkan namun kini saya sudah bertambah yakin terhadap jentera serangan,” kata Noor Saliza.