UniKL mempertahankan kedudukan pendahulu liga dengan penuh bergaya apabila menjadikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mangsa belasahan 11-0 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi.

Juara Piala Sumbangsih, THT kalah mengejut 1-2 kepada TNB Thunderbolts yang majoritinya dibarisi pemain berusia 17 dan 18 tahun.

Lebih mengejutkan, ini adalah kemenangan pertama Thunderbolts dalam saingan liga musim ini.

Dalam aksi di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur jaringan Thunderbolts disempurnakan oleh Muhammad Hazzim Amin Hafidz dan Muhamad Aminudin Mohd. Zain pada minit ke-27 serta 51, manakala gol THT dihasilkan Jung Manjae (m-41).

Pengendali TNB Thunderbolts, Nor Azlan Bakar berkata, dia tidak menyangka anak-anak buahnya mampu meraih kemenangan ke atas pasukan pilihan, THT dan memuji semangat juang yang ditampilkan terutama ketika melakukan serangan dan juga bertahan.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan kami tidak menjangkakan yang kami mampu meraih kemenangan pertama dalam liga.

“Bagi saya ini satu keputusan luar jangka kerana THT sebuah pasukan yang cukup bagus dan dibarisi ramai pemain kebangsaan juga pemain import yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, TNB kekal di tangga kedua selepas membelasah Nur Insafi 6-1 di Stadium Hoki Kuala Lumpur.