Malaysia tiada pilihan selain harus mendapatkan kemenangan ke atas Pakistan bagi membuka peluang menamatkan aksi peringkat kumpulan dalam kelompok tiga terbaik.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd. Rahim berkata, setiap peluang yang diraih dalam kawasan D harus dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Sebagai pakar pukulan sudut penalti bersama Faizal Saari, kami harus memastikan setiap peluang tidak di sia-siakan begitu sahaja. Ini adalah perlawanan penting buat kami sepasukan dan segala­nya bergantung dengan keputusan menentang Pakistan,” kata Muhammad Razie.

Dalam aksi pembukaan Kumpulan D menyaksikan Malaysia tewas 0-7 kepada Belanda, Sabtu lalu dan kini tiga mata harus diraih ke atas Pakistan kerana selepas itu skuad negara dilihat mempunyai peluang tipis untuk mendapatkan kemenangan ke atas gergasi Eropah, Jerman pada 9 Disember ini.

Hanya tiga pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke pusi­ngan seterusnya dan berdasarkan kiraan matematik Malaysia hanya perlu mendapatkan satu kemenangan iaitu ke atas Pakistan bagi melepasi aksi kumpulan.

Sementara itu, seorang lagi pakar pukulan sudut penalti negara, Faizal berkata, dia tidak mahu melihat Malaysian Tigers menamatkan aksi sebagai pasukan tercorot peringkat kumpulan.