Skuad lelaki negara mempunyai dua cara untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020 iaitu sama ada dengan meraih emas dalam temasya di Jakarta-Indonesia itu atau menerusi siri Liga Hoki Dunia.

Jika dibandingkan dua pertandingan itu, laluan menerusi Sukan Asia adalah lebih mudah dan pemenang emas secara automatik layak ke Tokyo.

Malaysia walau bagaimanapun belum pernah menggondol emas Sukan Asia, dengan pencapaian terbaik mereka adalah perak sewaktu temasya berlangsung di Guangzhou, China.

Kali terakhir Malaysia bersaing dalam Sukan Olimpik adalah pada 2000 di Sydney, Australia dengan Mirnawan ketika itu sebahagian daripada pemain dalam pasukan.

Mirnawan, yang merupakan ketua pasukan negara dari 1998 hingga 2002, juga pernah beraksi dalam Olympik Barcelona 1992 dan Atlanta 1996. Dia turut bermain dalam tiga Sukan Asia iaitu di Beijing pada 1990, Hiroshima 1994 dan Bangkok 1998 selain Piala Dunia di Utrecht, Belanda pada 1998 dan Kuala Lumpur 2012.

Kaya dengan pengalaman beraksi dalam kejohanan besar, Mirnawan mengongsikannya dengan pemain Malaysia Tigers untuk menyemarakkan semangat mereka menjelang Sukan Asia hari ini.

“Hari ini saya banyak berkongsi kepada mereka (Malaysia Tigers) dari hati ke hati. Saya kongsi kepada mereka dalam usaha menamatkan penantian untuk ke Olimpik. Jika gagal ke Tokyo 2020, bermakna kemarau akan terus berpanjangan kepada 20 tahun.

“Ini merupakan peluang pertama (untuk layak ke Olimpik), yang berada di depan mata. Sebagai seorang bekas pemain hoki, saya merasakan bahawa jika tidak dapat bermain di Olimpik adalah satu perkara yang merugikan.

“Jadi hari ini saya memberikan kata-kata semangat dan saya harapkan mereka memberikan yang terbaik demi negara,” katanya selepas pertemuannya dengan skuad negara dalam sesi latihan terakhir mereka sebelum berlepas ke Sukan Asia, di Stadium Hoki Nasional, di sini hari ini.