Pakar pukulan sudut penalti Argentina, Peillat adalah antara pemain terbaik dunia serta digeruni lawan dengan rekodnya sebagai penjaring terbanyak Sukan Olimpik 2016.

Muhammad Marhan yang menyambut hari lahir ke-28 hari ini bagaimanapun berkata, dia tidak gentar dengan reputasi dimiliki oleh Peillat apatah lagi kerana sudah tahu kelemahan utama bintang Los Leones itu ketika melakukan pukulan sudut penalti.

“Selaku pelari pertama, kepantasan larian akan menjadi anak kunci untuk menyekat pukulan sudut penalti lawan dan dalam situasi berdepan Peillat ini, saya perlu menjadi lebih pantas daripada biasa serta mendapatkan arah yang tepat.

“Dalam masa sama, saya berharap rakan sepasukan saya dapat mengelakkan daripada membenarkan Argentina memperoleh pukulan sudut penalti,” katanya selepas sesi pemulihan di kolam renang di sini, hari ini.

Selain Muhammad Marhan, pemain muda negara Syed Mohd. Syafiq Syed Cholan juga harus bersedia untuk menggalas tugas sebagai pelari pertama Malaysia Tigers ketika berdepan situasi pukulan sudut penalti pasukan lawan.

Berdasarkan rekod pertemuan sejak 1968, Malaysia hanya pernah menang tiga kali daripada 13 perlawanan dengan jaguh Amerika Selatan itu.

Tiga kemenangan Malaysia itu diraih dalam Sukan Olimpik 1976 di Montreal, Kanada dan Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.

Sementara itu, jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen berkata, setiap perlawanan dianggap penting dan dia mahu semua pemain memanfaatkan perlawanan kompetitif menentang Argentina bagi meningkatkan kualiti permainan.

“Pada tahun ini Piala Sultan Azlan Shah amat mencabar kerana mendapat penyertaan pasukan handalan dunia sekali gus memerlukan semua pemain beraksi di tahap tertinggi ketika menentang lawan seperti Argentina.

“Semua perlawanan dalam kejohanan ini juga akan menjadi sebahagian daripada persiapan untuk membentuk pasukan negara yang berkualiti bagi menghadapi pertandingan terdekat iaitu Sukan Komanwel pada bulan depan,” katanya.