Kemenangan tersebut menafikan segala keraguan terhadap prestasi semasa skuad hoki lelaki negara menjelang kempen Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India pada 28 November hingga 16 Disember ini terutama selepas tewas dalam dua aksi awal perlawanan ujian sebelum ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Roelant Oltmans berkata, pasukan telah mempamerkan peningkatan dalam semua tiga siri perlawanan ujian menentang New Zealand malah turut berpuas hati dengan keupayaan Malaysian Tigers meraih kemenangan hari ini.

“Saya lihat pasukan sentiasa meningkat dan saya juga yakin kami mampu untuk mencapai sasaran kelompok 10 terbaik.

“Bagaimanapun perlu di ingat bahawa sasaran utama pasukan adalah untuk terus menghidupkan peluang dalam aksi peringkat kumpulan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan ujian ketiga di sini, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut empat gol skuad hoki negara dijaringkan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim seawal minit kedua, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada minit ke-26, Faizal Saari pada minit ke-49 dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-56.

Sementara itu dua gol New Zealand dijaringkan oleh Kane Russel pada minit ke-10 dan George Muir pada minit ke-46. - UTUSAN ONLINE