Pertemuan menentang pasukan ranking ke-15 dunia, Itali bakal menjadi penentu peluang Malaysia yang ketika ini menghuni ranking ke-21 untuk beraksi dalam Piala Dunia 2018 di London.

Ini kerana hanya dua pasukan terbaik WHLR2 di Kuala Lumpur akan meraih slot automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium dan Afrika Selatan pada Jun yang akan menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia tahun depan.

Kata Muhammad Dhaarma, kehadiran penyokong tempatan yang ramai mampu memberikan keyakinan kepada skuad wanita negara menghadapi tugas berat.

“Saya harap lebih ramai penyokong dapat hadir membantu kami mencari kemenangan.

“Perlawanan menentang Itali amat penting, malah lawan pasti akan memberi cabaran hebat.

“Ketika ini saya lihat kelebihan memihak kepada kami kerana sudah berhadapan pelbagai kesukaran berbanding Itali yang kebanyakannya meraih kemena­ngan mudah kerana menentang lawan di ranking terlalu rendah,” kata Muhammad Dhaarma.

Sementara itu, kapten Itali, Chiara Tiddi berkata, menentang Malaysia adalah aksi yang ditunggu-tunggu oleh pasukannya.