Selepas mendahului 3-1, Jepun berjaya mengejar Malaysian Tigers untuk kedudukan 3-3, situasi yang hampir sama dengan perlawanan akhir Sukan Asia di Jakarta apabila lawan bangkit daripada ketinggalan 2-5 untuk menyamakan jaringan 6-6.

Penolong ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Amin Rahim berkata, kelekaan mengawal pemain lawan memberi ruang buat Jepun mendapatkan dua gol.

“Kita bermain baik pada suku pertama yang menyaksikan kami mendahului 3-1 malah beberapa keputusan pengadil juga dilihat memberi kesan kepada pemain sehingga hilang tumpuan. Ini perlu diperbaiki jika tidak masalah yang sama akan berlaku.

“Menjelang pertemuan dengan Argentina esok, pemain perlu lebih fokus dan yakin dengan kemampuan, selain perlu tingkatkan lagi disiplin ketika bertahan dan jangan mudah hilang bola.

“Rehat sehari akan digunakan untuk pemain melakukan sesi pemulihan selepas dua perlawanan berturut-turut selain kami akan melakukan video analisis tentang kelebihan dan kelemahan Argentina,” kata Muhammad Amin.

Ketiga-tiga jaringan Malaysia disempurnakan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15 dan 21, selain Fitri Saari (minit ke-27). - UTUSAN ONLINE