Malaysia menepati ramalan muncul juara, namun selepas mengharungi aksi mendebarkan ketika menang pukulan penalti 5-3 setelah terikat 2-2 dalam permainan masa sebenar.

Kejayaan melangkah ke final sudahpun menjamin slot ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga pentas kelayakan untuk ke Piala Dunia 2018.

Separuh akhir Liga Hoki Dunia dijadual berlangsung pada Jun atau Julai sama ada di London atau Afrika Selatan.

Ketua jurulatih Malaysia, Stephen Van Huizen berkata, pasukan negara sepatutnya boleh menamatkan kemenangan lebih mudah, namun gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang.

“Apa pun saya tetap bangga dengan keupayaan pemain yang mempamer kebangkitan.

“Kemenangan ini umpama ‘hidup semula selepas kematian’ dan ia sangat manis dapat meraih kejayaan sebegini,” kata Van Huizen.

Malaysia yang menghuni ­ranking 13 dunia terlebih dulu dikejutkan oleh jaringan China, pasukan ranking 18 menerusi pukulan sudut penalti Du Talake pada minit ke-15.

Gol awal China memberi tekanan kepada Malaysia hingga menyebabkan skuad negara mudah melakukan kesilapan pertahanan.

Pertahanan negara yang longgar di kawasan D menyebabkan China menambah gol kedua hasil ja­ringan padang Su Jun pada minit ke-22.

Malaysia bagaimanapun mempamer kebangkitan pada suku keempat menerusi beberapa percubaan.

Gol pertama hadir pada minit ke-46 menerusi Shahril Saabah sebelum Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan minit ke-55 dan keduanya hasil pukulan sudut penalti.

Kedudukan kekal hingga tamat permainan sebelum kemenangan ditentukan dalam pukulan penalti shoot-out.

Ini kali kedua Malaysia muncul juara WHLR2 selepas melakukannya buat kali pertama di Singapura pada 2015 dengan membelasah Poland 8-0 dalam aksi final.