Pada aksi hari ini, skuad negara yang mengalami tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, ketinggalan selepas Jack Hayes menjaringkan gol pembukaan untuk pasukan tuan rumah pada minit kelapan, sebelum penyerang kebangsaan Faizal Saari menyamakan kedudukan pada minit ke-21.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-52, namun Australia A berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Joel Rintala, empat minit kemudian.

Mengulas keputusan tersebut, ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen gambira dengan pencapaian tersebut selepas tewas tiga perlawanan sebelum ini.

“Kita mencipta banyak peluang hari ini dan lebih banyak pilihan menjaringkan gol melalui pemain tengah. Kita memiliki peluang terbaik pada penghujung perlawanan namun penyudahnya tidak cukup bagus,” kata Van Huizen.

Malaysia akan melengkakan Siri Jelajah Asia berdepan pasukan yang sama, Rabu ini, sebelum pulang ke tanah air pada Khamis. - BERNAMA