Dalam aksi di Pusat Hoki Marrara, Australia mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi gol padang Dylan Wotherspoon dan Tom Craig, masing-masing pada minit kelapan dan ke-11, sebelum Muhammad Haziq Samsul merapatkan defisit untuk skuad Malaysian Tigers menerusi gol padang pada minit ke-18.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, Australia yang juga juara dunia menggandakan asakan dan meraih tiga lagi gol menerusi jaringan padang Jacob Anderson (32), Jack Welch (34) dan Tim Brand, minit ke-60.

Muhammad Firhan Ashari, menjaringkan gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

“Kita ada beberapa peluang selain daripada dua gol yang kita jaringkan, cuma keputusan lebih baik boleh diraih sekiranya pemain kurang melakukan kesilapan.

“Esok kita akan berdepan Jepun dan ini pasti detik yang ditunggu pemain setelah tewas kepada mereka dalam Sukan Asia baru-baru ini. Pemain sedar mereka tidak mahu tewas kali kedua berturut-turut,” kata penolong ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Amin Rahim.

Selepas menentang Jepun, Malaysia akan menamatkan pusingan awal berdepan juara Olimpik, Argentina, Jumaat ini.

Empat negara menyertai kejohanan berkenaan yang bermula hari ini sehingga 22 September iaitu Malaysia, Jepun, Argentina dan Australia selaku tuan rumah. - BERNAMA