Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan Wallace Tan berkata, pasukannya mempamerkan pe­ningkatan dalam setiap perlawanan dan yakin mereka mampu menunjukkan prestasi terbaik apabila bertemu juara tahun lalu itu.

“Pukulan sudut penalti kami semakin baik sekarang. Peratusan untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut pe­nalti semakin tinggi dan pemain mempunyai persefahaman yang lebih baik sebagai satu pasukan.

“Kami menjaringkan 11 gol padang dan tujuh gol menerusi pukulan sudut penalti ketika menentang AS. Ini sesuatu yang positif dan mampu meningkatkan keyakinan kami.

“Menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti adalah masalah buat kami dalam perlawanan awal tetapi perlahan-lahan kami memperbaikinya.

“Australia sebuah pasukan yang kuat tetapi kami mampu memberikan tentangan sengit kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbat selepas menewaskan Amerika Syarikat 18-0 semalam.

Malaysia ketika ini menghuni tempat keempat carta SOJC dan memerlukan kemenangan ke atas Australia untuk beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dengan peluang sudah tertutup untuk mara ke perlawanan akhir, pilihan terbaik dimiliki anak buah Wallace adalah beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat menentang sama ada India, Australia atau Great Britain Ahad ini.

Bagaimanapun, jika sebalik­nya yang berlaku, Malaysia terpaksa akur beraksi dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

Ketua jurulatih Australia, Brent Livermore juga mengakui Malaysia mampu menberi masalah kepada pasukannya dalam misi memburu tempat ke final.