Gol tunggal Muhammad Shahril itu juga meranapkan impian India untuk melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah kerana gagal menamatkan aksi hari ini selaku dua pasukan terbaik liga.

Ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen berkata, kemenangan tersebut adalah sesuatu yang membanggakan buat Malaysia.

“Kami tidak berniat untuk menyekat peluang India me­langkah ke saingan akhir tetapi sekadar mahu melakukan yang terbaik buat penyokong di sini.

“Kemenangan kami ini juga mampu meningkatkan motivasi pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Jepun esok,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Malaysia bermula dengan aksi meyakinkan dan mempamerkan rentak permainan pantas ketika melancarkan serangan.

Bagaimanapun tiada sebarang gol dapat diperoleh ketika suku pertama perlawanan kerana benteng pertahanan India yang sukar ditembusi.

Pujian juga wajar diberikan kepada benteng pertahanan dibarisi Faiz Helmi Jali, Najmi Farizal Jazlan dan kapten Mohd. Syukri Mutalib yang bijak mematahkan beberapa percubaan India untuk menembusi kawasan D.

Ketiadaan pemain berpengalaman Muhammad Razie Abdul Rahim yang mengalami kecederaan menyebabkan skuad negara sukar memanfaatkan dengan baik tiga pukulan sudut penalti bagi menjaringkan gol pada suku ketiga perlawanan.

Bagaimanapun, Muhammad Shahril menjadi penyelamat Malaysia Tigers apabila jaringannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-51 perlawanan berjaya menghasilkan gol kemenangan.