Seperti ulangan separuh akhir Sukan Asia Guangzhou 2010, anak-anak buah Stephen Van Huizen ketinggalan pada awal permainan menerusi jaringan Harmanpreet Singh pada minit ke-32 sebelum Faizal Saari menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Varun Kumar hampir memastikan kemenangan pasukan pilihan itu selepas menjaringkan gol pada minit ke-40 namun ketika perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan, Muhammad Razie Rahim meledak jaringan penyamaan untuk mengheret permainan ke penentuan penalti.

Ketika aksi penentuan penalti, penjaga gawang negara, S.Kumar muncul wira pasukan dengan menyelamatkan tiga penalti bagi memastikan Malaysia mara ke aksi final.

“Ini bukan usaha saya seorang sahaja, semua pemain memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kejayaan pasukan negara ke pentas final dan saya yakin dengan rakan sepasukan saya.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan perlawanan ini akan ke penentuan penalti tetapi saya percaya kami mampu mencipta kejayaan selepas berjaya menyamakan kedudukan,” kata Kumar.

Sementara itu, Van Huizen berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan perlawanan akan ke penentuan penalti kerana dia percaya pasukannya mampu mencipta kemenangan selepas melihat aksi anak-anak buahnya pada awal permainan.

Dia bagaimanapun mengharapkan perlawanan akan diheret ke penentuan penalti selepas pasukan negara ketinggalan 1-2 terutama ketika memasuki beberapa minit terakhir.

“Pada mulanya saya jangka pasukan ini akan menang kerana mereka bermain dengan baik di awal permainan tetapi selepas ketinggalan, saya berharap kami dapat menyamakan kedudukan dan bermain dalam penentuan penalti.

“Selepas itu saya serahkan kepada pemain untuk beraksi dengan sebaik mungkin pada aksi final nanti,” katanya.