Itali pula melangkah ke separuh akhir dengan mudah apabila menewaskan Hong Kong 7-0 dalam satu lagi perlawanan dan Malaysia Tigress perlu menghasilkan permainan luar biasa untuk melepasi mereka.

Skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang ketika ini menghuni ranking ke-21 dunia tiada pilihan lain selain meraih kemenangan ke atas pasukan ranking ke-15 dunia itu andai mahu merebut peluang ke Piala Dunia 2018 di London.

Dua pasukan yang melangkah ke saingan akhir WHLR2 di Kuala Lumpur akan meraih slot automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium dan Afrika Selatan pada Jun ini sekali gus berpeluang cerah meraih kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Berdasarkan format kelayakan ke Piala Dunia 2018 Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) terdapat dua cara untuk skuad hoki wanita negara melepasi pusingan kelayakan tersebut iaitu muncul sebagai juara Piala Asia pada November ini atau meraih keputusan cemerlang dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Wanita.

Sementara itu, skuad negara terpaksa menunggu hingga minit ke-38 untuk membolosi kubu Thailand buat kali pertama menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan Siti Amarina Ruhani sebelum Norazlin Sumantri menjadikan kedudukan 2-0 hasil gol padang minit ke-56.

Gol ketiga Malaysia dijaringkan seminit sebelum tamat 60 minit perlawanan hasil pukulan sudut penalti daripada Nuraini Abdul Rashid.

Dua lagi pasukan yang melangkah ke saingan separuh akhir ialah Wales dan Ireland. Ireland me­nempah slot ke saingan empat pasukan terakhir selepas menewaskan Singapura 10-0 manakala Wales menundukkan Kazakhstan 2-1.