Malah kemenangan tersebut telah menjamin slot skuad negara pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 menerusi kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang di jadual berlangsung pada Jun atau Julai ini sama ada di London atau Afrika Selatan.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia yang ketika ini menghuni ranking 13 dunia dipaksa bekerja keras oleh pasukan ranking 18 dunia, China sebelum dapat mengesahkan kemenangan.

Malah pada aksi final itu, China terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik pemainnya Du Talake minit ke-15.

Gol awal China itu memberikan tekanan kepada Malaysia hingga menyebabkan skuad negara mudah melakukan kesilapan di bahagian pertahanan apabila membenarkan lawan memasuki kawasan D.

Pertahanan negara yang longgar di kawasan D menyebabkan China dapat menambah gol kedua hasil jaringan padang sewaktu minit ke-22 menerusi Su Jun.

Skuad hoki negara dilihat mula mempamerkan kebangkitan pada suku keempat menerusi beberapa percubaan mendapatkan gol.

Jaringan pertama skuad negara hadir pada minit ke-46 menerusi Shahril Saabah sebelum Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan minit ke-55 dan keduanya hasil pukulan sudut penalti.

Kedudukan kekal hingga tamat masa permainan sebelum kemenangan ditentukan dalam aksi pukulan penalti shoot out yang memihak skuad kebangsaan.

Ini juga adalah kali kedua Malaysia menjadi juara kejohanan sama dengan kali pertama pada 2015 selepas menewaskan Poland 8-0 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Sengkang, Singapura. - UTUSAN ONLINE