Skuad negara masih memburu kemenangan pertama selepas menamatkan empat perlawanan peringkat awal di Stadium Azlan Shah dan ketua jurulatih Stephen Van Huizen berkata, kemenangan ke atas India amat penting kepada pemainnya yang akan menghadapi kejohanan lebih besar selepas ini.

Malaysia dan India menjadikan Piala Sultan Azlan Shah kali ini sebagai medan menguji persediaan masing-masing untuk menghadapi pusingan kelayakan akhir Piala Dunia 2018 menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di London, England bermula 15 hingga 26 Jun depan.

“Kami memandang serius perlawanan menentang India kerana mereka juga akan beraksi di London nanti dan walaupun India berada dalam kumpulan berasingan tetapi kami berkemungkinan bertemu mereka di peringkat kalah mati.

“Sudah tentu India akan mengkaji corak permainan Malaysia di sini dan kami juga akan berbuat perkara yang sama. Dalam masa sama kami mahu melihat aspek-aspek yang perlu dipertingkatkan sebelum ke London nanti,” kata Stephen.

India yang berada di bawah kendalian jurulatih warga Belanda, Roelant Oltmans adalah tuan rumah Piala Dunia 2018 manakala di London nanti mereka akan bersaing dalam Kumpulan B bersama Belanda, Pakistan, Scotland dan Kanada untuk peringkat awal.

Malaysia pula diundi dalam Kumpulan A Separuh Akhir WHL bersama pasukan No. 1 dunia Argentina, Korea Selatan, England dan China.