Presiden MHC, Datuk Seri Suba­han Kamal berkata, kese­diaan MHC untuk mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia 2022 daripada FIH adalah disebabkan Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik bagi sesebuah kejohanan berprestij itu.

Tambah Subahan, pihak FIH juga dilihat lebih berminat andai negara-negara Asia yang menjadi penganjur kepada Piala Dunia 2022.

“Semua ini kami akan bincangkan kerana sudah lama Malaysia tidak menjadi tuan rumah Piala Dunia dengan kali terakhir ialah pada 2002.

“Seandainya tawaran kami diterima oleh FIH maka ia akan menjadi sesuatu yang membanggakan buat sukan hoki negara.

“Bagi Piala Dunia 2022 kami cuba menawar diri bagi saingan lelaki dan juga wanita. Kami tidak kisah jika salah satu berjaya terpilih namun harapan kami adalah dapat menganjurkan kedua-duanya sekali di negara ini,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas meng­umumkan senarai pemain skuad lelaki negara untuk aksi persahabatan di Argentina pada 25 Mei hingga 2 Jun ini, di sini, hari ini.

Seandainya Malaysia terpilih menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 maka ia akan menjadi pe­nganjuran kali ketiga buat negara dalam kejohanan berprestij itu.

Kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada 1975 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan selepas itu pada 2002 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, Subahan memberitahu bahawa MHC bakal memberikan kata putus kepada FIH berhubung keputusan bagi penganjuran kejohanan hoki Siri Dunia Final 2019 selewat-lewatnya pada 8 Jun ini.

Kejohanan hoki Siri Dunia Final pada Jun tahun depan itu akan menjadi kejohanan penting buat semua negara kerana ia adalah medan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Ketika ini hampir boleh dikatakan bahawa kami menerima tawaran daripada FIH itu untuk menganjurkan Siri Dunia Final 2019 pada Jun bagi skuad lelaki namun perlu mendapatkan persetujuan semua Ahli Lembaga Eksekutif MHC pada 2 Jun ini.

“Bagi MHC sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan Siri Dunia Final ini maka ia akan menjadi kelebihan buat pasukan kebangsaan bagi mela­yakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 andai tidak berupaya melepasi kelayakan sewaktu Sukan Asia 2018 pada Ogos ini.

“Kami juga akan berbincang dengan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk menjadikan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai venue utama kejohanan,” kata Subahan.

Skuad hoki lelaki negara harus menjadi pemenang pingat emas dalam Sukan Asia 2018 andai ingin layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Sekiranya tidak berjaya maka kejohanan hoki Siri Dunia Final 2019 bakal menjadi peluang terakhir buat skuad kebangsaan dalam misi ke Tokyo.