Menurut undian di laman web Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Kumpulan A terdiri daripada pasukan nombor 10 dunia, Kanada, Austria (19), dan pasukan ranking ke-24 dunia, Wales manakala pengganti Vanuatu, yang menarik diri, akan ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, Kanada dan China, pasukan nombor 14 dunia, adalah dua pasukan yang dijangka memberi cabaran kepada tuan rumah, Malaysian Tigers yang berada di ranking-13 dunia.

Kejohanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini akan berlangsung dari 26 April hingga 4 Mei ini.

Dua pasukan teratas daripada kejohanan ini akan layak ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

Skuad Malaysian Tigers, di bawah bimbingan Roelant Oltmans, akan membuka kempen perlawanan kumpulan dengan menentang Brazil pada 26 April, China (28 April) dan Itali pada 29 April.


Mengikut format pertandingan siri final di sini, juara kumpulan akan layak ke separuh akhir manakala baki dua slot separuh akhir akan diisi oleh pemenang perlawanan secara silang antara naib juara dan pasukan tempat ketiga kumpulan.

Bagi merealisasikan harapan ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, ketua jurulatih negara, Oltmans, tidak mahu melepaskan kelebihan bermain di laman sendiri untuk menungguli kejohanan tersebut.

"Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lawan. Tentunya kami akan melakukan persediaan yang terbaik, terutamanya apabila berada dalam kumpulan yang sama dengan China, di mana kita sedia maklum China telah menunjukkan satu persembahan yang baik ketika di Piala Dunia 2018.

"Kami juga lama tidak bertemu pasukan Itali dan Brazil, jadi perlu mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai kedua-dua pasukan ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.


Sementara itu, skuad wanita negara, yang berada di ranking ke-22 dunia, dijangka menghadapi cabaran sengit apabila diundi dalam kumpulan A bersama tuan rumah, Ireland (ranking ke-8 dunia), Republik Czech (19) dan Singapura (35).

Dalam kejohanan siri final wanita di Dublin dari 8 hingga 16 Jun ini, Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan (11), Scotland (18), Ukraine (26) dan Perancis di ranking ke-30 dunia.

Malaysia akan membuka kempen dengan Ireland pada 8 Jun diikuti Singapura pada hari berikut dan Republick Czech pada 11 Jun.- BERNAMA