Malaysia yang sudah pun mengesahkan tempat ke peringkat Super 4 selepas menumpaskan China dan Korea Selatan sebelum ini, mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan dengan mula membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi Faizal Saari sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil menjadikan kedudukan 2-0, dua minit kemudian.

Pada minit ke-20, Shahril Saabah menjaringkan gol ketiga negara menerusi pukulan sudut penalti sebelum Tengku Ahmad Tajuddin menjaringkan gol keempat, tiga minit kemudian.

Faizal kemudian menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-27 dan Muhammad Amirol Aideed Arshad dan Muhammad Najmi Farizal Azlan melengkapkan tujuh jaringan Malaysia pada minit ke-40 dan 42.

Oman meraih gol saguhati menerusi Salmeen Al Nofali pada minit ke-25.

Jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, perlawanan hari ini lebih kepada bermain secara santai untuk mengelakkan pembaziran tenaga memandangkan Malaysia bakal beraksi dalam peringkat Super 4.

Katanya, skuad negara memulakan aksi dengan agak santai sebelum meningkatkan tempo permainan dan mencipta peluang yang cukup untuk menang selesa.

“Jelas sekali kami kehilangan kreativiti Fitri (Saari) dan ketiadannya membuatkan pemain lain terpaksa bekerja lebih keras.

“Marhan (Mohd. Jalil), Nabil (Fiqri Mohd. Noor), Aideed, Azri (Hassan) juga memiliki kekuatan tersendiri tetapi secara keseluruhannya mereka perlu bekerja keras kerana kami kekurangan satu pemain untuk penggiliran.

“Dalam perlawanan hari ini juga kami hanya menggunakan Sukri (Abdul Mutalib) selama kira-kira empat minit kerana mahu melindunginya untuk aksi separuh akhir nanti,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Korea Selatan mengiringi Malaysia ke peringkat Super 4 selepas muncul naib juara Kumpulan B manakala India mara selaku juara Kumpulan B dan diiringi Pakistan selaku naib juara.

Peringkat Super melibatkan dua pasukan teratas dari Kumpulan A dan B yang akan bermain secara round robin untuk merebut tempat ke perlawanan akhir.