Skuad kendalian Wallace Tan, yang sebelum ini tewas kepada Great Britain dan India serta seri menentang Jepun, turun dengan misi memburu kemenangan sulung dan mereka tidak berdepan masalah AS yang baharu pertama kali menyertai kejohanan untuk pemain bawah 21 tahun itu.

Kapten skuad negara Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi muncul penjaring terbanyak dengan lima gol pada minit keempat, kelima, 21, 22 dan 59.

Sementara itu, Wallace berpuas hati dengan kemenangan pertama skuadnya dalam kejohanan kali ini.

“Apa yang penting adalah kita memenangi perlawanan ini. Pemain bermain dengan konsisten dan jaringan demi jaringan telah menaikkan semangat pemain kita,” katanya.

Ujarnya, fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan pemain bagi menghadapi Austalia pada Sabtu ini.

Mengakui juara bertahan itu merupakan pasukan yang kuat, namun dia tetap optimis skuad remaja mampu mempamerkan aksi sebaik­nya dalam perlawanan itu nanti.

“Kami akan membaiki kelemahan yang ada dan apa yang penting cuba memenangi perlawanan menentang Australia nanti,” katanya.

Terdahulu pada sebelah petang, juara bertahan, Australia menewaskan juara remaja dunia dan juara SOJC dua kali India 4-3.