Jaringan tunggal penyerang kebangsaan, Muhammad Shahril Saabah bukan sahaja memastikan tiga mata penuh buat skuad negara, malah meranapkan impian India untuk melangkah ke final kerana gagal menamatkan aksi dalam kelompok dua terbaik liga.

Ketua jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, kemenangan tersebut adalah sesuatu yang membanggakan buat Malaysia, sekali gus meningkatkan keyakinan pemainnya untuk memenangi perlawanan klasifikasi kelima dan keenam menentang Jepun esok.

“Kami tidak berniat untuk menyekat peluang India melangkah ke akhir tetapi sekadar mahu melakukan yang terbaik buat penyokong di sini.

“Kemenangan kami ini juga mampu meningkatkan motivasi pemain bagi menghadapi Jepun esok,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam aksi di Stadium Azlan Shah, benteng pertahanan Malaysia, Faiz Helmi Jali, Najmi Farizal Jazlan dan kapten Mohd. Syukri Mutalib cemerlang mematahkan beberapa percubaan India untuk menembusi kawasan D.

Ketiadaan pemain berpengalaman, Muhammad Razie Abdul Rahim yang mengalami kecederaan menyebabkan skuad kebangsaan sukar memanfaatkan dtiga pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, Muhammad Shahril muncul penyelamat Malaysia Tigress apabila jaringannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-51 berjaya menghasilkan gol kemenangan.

Malaysia kini akan beraksi dengan misi mengelak tangga tercorot apabila bertemu Jepun, pasukan yang mengikat skuad negara 1-1 dalam aksi pembukaan.

Perlawanan akhir esok bakal menemukan juara dunia, Australia dengan jaguh Eropah, Great Britain, manakala India akan bertemu New Zealand dalam perebutan tempat ketiga. - UTUSAN ONLINE