Bagaimanapun bagi merea­lisasikan harapan itu, Malaysia Tigers perlu terlebih dulu melepasi ‘kumpulan maut’ yang dihuni bekas-bekas juara dunia.

Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Roelant Oltmans hari ini mengumumkan senarai 18 pemain yang bakal menggalas cabaran di Bhubaneswar dari 28 November hingga 16 Disember.

Kumar, 38, diberi kepercayaan biarpun kecede­raan ibu jari yang dialami dalam Sukan Asia, September lalu menyebabkan dia tidak beraksi pada Trofi Juara-Juara Asia, bulan lepas.

“Kami berada dalam kumpulan sukar bersama tiga bekas juara dunia, jadi kami cuba berada dalam senarai tiga terbaik. Jika berada di tangga ketiga, mungkin akan berdepan India atau Belgium dari Kumpulan C untuk ke suku akhir.

“Apa saja boleh berlaku di peringkat kalah mati,” kata ­Oltmans dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Malaysia diletak dalam Kumpulan D bersama Pakistan (juara 1971, 1978, 1982, 1994), Belanda (1973, 1990, 1998) serta Jerman (2002, 2006) .

Juara kumpulan layak secara automatik ke suku akhir, naib juara dan pasukan ketiga perlu berdepan pesaing dari kumpulan lain untuk memburu slot.

“Malaysia mempunyai pemain yang boleh bermain hoki dengan baik namun jika mahu lebih realistik kita harus berusaha melepasi peringkat kumpulan.

“Realistik atau tidak bergantung kepada persepsi masing-masing dan saya sendiri percaya, menamatkan aksi dalam kelompok 10 terbaik Piala Dunia bukan mustahil,” katanya lagi.

Kata Oltmans, dia mahu memastikan hanya yang terbaik dibawa ke India, dan kerana itulah Kumar disenaraikan kerana pemain tersebut sudah pulih daripada kece­deraan.

“Kumar sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan dan saya lihat dia berada di tahap terbaik, malah dia beritahu saya tidak merasa sakit lagi di bahagian tangannya,” kata Oltmans.

Malaysia Tigers akan ber­depan tiga perlawanan persahabatan menentang skuad utama New Zealand di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula Khamis ini sebagai persediaan terakhir menghadapi Piala Dunia 2018.