Kumar, 39, memegang rekod sebagai penjaga gol paling banyak menyarung jersi Malaysia dalam sejarah hoki negara, malah antara yang tertinggi di dunia.

“Berbanding pemain posisi lain yang mudah untuk mencapai 300 cap (penampilan), bagi penjaga gol, angka itu sesuatu yang membanggakan.

“Jumlah perlawanan itu hanya untuk yang rasmi, saya percaya angka itu akan lebih banyak jika dicampur dengan yang tidak rasmi.

“Bagaimanapun, ia menjadi suntikan semangat buat saya dan pasukan bagi meneruskan misi memburu emas dalam Sukan Asia kali ini,” katanya kepada pembmerita di sini, hari ini.

Azlan Misron pula kekal pemain paling banyak mewakili Malaysia iaitu 350 kali.

Kejayaan membenam Bangladesh membolehkan Malaysia meraih kemenangan ketiga berturut-turut dan sebelah kaki untuk ke separuh akhir.

Pasukan negara yang mengalahkan Kazakhstan 16-2 dan Thailand 10-0 dalam dua perlawanan pertama, kini menduduki tangga teratas kumpulan.

Mereka akan bertemu Pakistan, Ahad ini, diikuti Oman (28 Ogos). - UTUSAN ONLINE