Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya telah mendapat surat daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 12 Disember lalu yang memaklumkan bahawa sampel A Kumar didapati positif dalam ujian doping sewaktu kempen Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Subahan turut memaklumkan bahawa Kumar tidak mahu mencabar keputusan sampel A tersebut bagi meneruskan dengan proses perbicaraan dan ketika ini pemain itu digantung sementara daripada terlibat dengan skuad kebangsaan.

“Dadah jenis sibutramine telah dikesan dalam sampel A Kumar yang diambil selepas tamat aksi menentang Oman ketika kempen Piala Asia 2017.

“Ini satu berita yang amat mengejutkan kami semua dan bagi pihak MHC, kami akan menghantar surat maklum balas kepada FIH esok untuk meminta proses perbicaraan dipercepatkan.

“Kami juga amat yakin bahawa Kumar tidak bersalah dalam isu ini kerana rekod bersihnya sebelum ini malah MHC juga akan sentiasa berada bersama penjaga gol tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dadah jenis sibutramine kebiasaannya digunakan untuk melansingkan badan dan ia bukan untuk meningkatkan tahap prestasi.

Sekiranya bersalah maka hukuman maksimum bagi mereka yang mengambil sibutramine adalah penggantungan selama dua tahun.

Bagaimanapun jika berjaya membuktikan tidak bersalah maka hukuman mungkin boleh dikurangkan sehingga sekadar amaran keras sahaja.

Sementara itu, Kumar, 37 tahun berkata, keputusan untuk tidak mencabar sampel A bukan bermaksud dia mengaku bersalah mengambil bahan terlarang itu tetapi kerana tidak mahu membazir masa berikutan sudah mengetahui keputusan sama bakal diperoleh.

“Sampel A dan B adalah daripada air kencing yang sama maka keputusannya juga sama. Ini bukan bermaksud saya sudah mengaku bersalah tetapi mahu mempertahankan diri ketika perbicaraan yang bakal diadakan nanti.

“Sebelum ini sudah lebih daripada 10 kali saya menjalani ujian doping sejak bersama skuad kebangsaan namun ini adalah kali pertama saya diuji positif.

“Bagi saya tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya tidak mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi dan saya terima semua berita ini biarpun amat terkejut pada awalnya,” kata Kumar.

Malaysia Tigers menewaskan Oman 7-1 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B Piala Asia 2017 sebelum Kumar dipanggil secara rambang untuk menjalani ujian doping.

Skuad hoki negara menamatkan kempen Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh sebagai naib juara dan ia adalah pencapaian terbaik Malaysia dalam aksi kejohanan tersebut sejak 1982.